Pengenalan
Pada keseluruhannya kegiatan luar adalah berkumpulan walaupun seseorang itu boleh berkhemah atau berkeno seorang diri. Sebagai sebuaah kumpulan ia tentunya memerlukan kepimpinan tertentu. Tiap-tiap kumpulan adalah terdiri daripada pemimpin (ketua) dan pengikut. Seorang ketua mesti dilantik atau dipilih bagi mengetuai sesuatu aktiviti kegiatan luar walaupun mungkin kegiatan itu dilakukan di antara rakan sebaya. Seseorang ahli kumpulan mestilah ditugaskan bagi membuat keputusan terutama bila berlaku kecemasan.
Perkara kecemasan tidak dapat di atasi dengan cara demokrasi tetapi ia dapat di atasi dengan keputusan yang tepat dan cepat dari seorang ketua yang layak. Bayangkan apa yang akan terjadi pada satu ekpedesi jika ia tidak mempunyai ketua.
Kualiti
Bagi menjadi seorang ketua tak kira apa jua jenis kepimpinan itu, maka seseorang itu memerlukan kombinasi beberapa kualiti tertentu. Begitu jugalah halnya dengan pemimpin di dalam kegiatan luar. Sebenarnya banyak kualiti-kualiti tersebut boleh dibicarakan. Oleh itu seorang ketua di dalam kegiatan luar haruslah mempunyai kualiti-kualiti yang sedemikian. Di bawah ini dihuraikan beberapa kualiti tersebut:-
Sihat - Seorang ketua kegiatan luar hendaklah sihat tubuh badannya dan sihat mentalnya. Seseorang itu tidak boleh memimpin apa jua jenis kegiatan luar jika ia tidak sihat dan tidak mempunyai kecergasan fizikal yang secukupnya. Mental yang sihat pula akan membolehkan seseorang ketua itu sentiasa bertindak waras dan rasional.
Minat dan didikasi – minat yang mendalam di dalam bidang yang dipimpin hendaklah wujud di dalam jiwa ketua itu. Tanpa minat atau dengan minat separuh-separuh sahaja tentu seorang ketua tidak akan berjaya memimpin kumpulan-kumpulannya di bidang tersebut. Minat yang mendalam biasanya akan melahirkan semangat gigih , rajin bekerja atau dedikasi. Tanpa sifat gigih dedikasi seseorang ketua itu tidak akan berjaya membangunkan kumpulan.
Sikap sosial – seorang pemimpin kegiatan luar hendaklah mempunyai sikap sosial yang baik. Ia hendaklah mengasihi orang dipimpinnya, menerima mereka sebagai ahli kumpulan, bertolak ansur, bertimbang rasa, adil, tidak mementingkan diri sendiri dan selalu meluangkan masa bagi mendengar masalah ahli kumpulan.
Taat Setia – Ketua hendaklah juga taat setia kepada kumpulan sebagai mana ia mengharapkan kumpulannya berbuat perkara yang sama terhadapnya. Ia mesti mementingkan kumpulannya dari kumpulan lain. Ia mesti sentiasa berdiri teguh di belakang kumpulan. Segala susah payah dan tumbang bangun kumpulan adalah juga adalah susah payah dan tumbang bangun ketua itu.
Pintar – Seseorang pemimpin mestilah pintar. Orang yang pintar dapat menganalisa sesuatu keadaan atau permasalahan yang baik serta dapat memisahkan antara perkara yang penting dengan yang tidak. Dengan demikian beliau dapat menghasilkan pendapat-pendapat atau rumusan yang bernas lagi berkesan. Orang yang bodoh sudah tentu tidak layak memimpin prang lain. Perlu ditekankan bahawa orang yang pintar tidak semestinya orang yang mempunyai kelulusaan akademik yang tinggi. Orang yang pintar biasanya berpandangan jauh dan cepat peka terhadap apa yang berlaku di sekitarnya. Dengan demikian ia dapat bertindak bagi kebaikan kumpulan.
Daya usaha – Daya usaha atau inisiatif adalah satu kualiti yang membuat seseorang itu dapat bergerak atau bekerja tanpa menunggu arahan atau gesaan dari mana-mana pihak. Orang yang bekerja di atas dasar ‘seperti pahat dengan pemukul’ adalah tidak sama sekali layak dijadikan ketua. Ketua yang mempunyai daya usaha akan sentiasa melahirkan program-program aktiviti-aktiviti atas sesuatu untuk kumpulan. Tanpa aktiviti kumpulan akan menjadi statik. Orang yang mempunyai inisiatif adalah biasanya orang yang kreatif dan prouktif.
Berani – Kualiti ini membolehkan ketua supaya terus dapat memimpin kumpulan walau di dalam apa keadaan sekali pun. Ketua yang (samada dari segi fizikal atau moral) dapat melahirkan keputusan yang sukar dan berat. Ia berani bertanya, berani berjumpa orang itu dan ini, berani menegur dan sentiasa bersifat cekal di dalam kecemasan. Tetapi perlu ditekankan bahawa berani yang dimaksudkan di sini bukanlah berani yang tidak berasas dan membabi buta sehingga terkeluar dari batas logik dan kewarasan. Seorang ketua yang berani membabi buta adalah lebih memberhaya dari risiko-risiko yang terdapat di dalam kegiatan luar itu sendiri. Berani membatalkan atau menangguhkan kegiatan atau ekspedesi atas sebab-sebab keselamatan atau berani mengakui kesilapan sendiri adalah diantara sifat-sifat berani yang diharapkan di dalam kegiatan luar.
Jujur – Dengan bersifat jujur seorang ketua akan sentiasa berterus terang kepada kumpulannya. Jika ia tidak tahu mengenai sesuatu perkara ia akan mengatakan tidak tahu. Jika ia belum melakukannya sesuatu perkara maka ia akan berkata ia belum melakukannya. Sementara ketua yang tidak jujur atau membohongi kumpulannya dengan beberapa alasanyang hebat-hebat. Seorang yang jujur ialah juga orang yang amanah. Kumpulan akan sejahtera jika ketua tidak menyeleweng samada dari segi tugas moral atau material.
Disiplin – Ketua yang berdisiplin akan dicontohi dan dipatuhi oleh pengikutnya. Di dalam kegiatan luar disiplin yang tinggi adalah diperlukan demi menjaga nama dan keselamatan kumpulan. Segala arahan peraturan dan etika perlu dipatuhi sepenuhnya. Ketua yang berdisiplin akan sentiasa mematuhi perkara-perkara tersebut dan selanjutnya ia akan menentukan pula supaya kumpulan juga berbuat demikian. Hanya mereka yang berdisiplin sahaja boleh mendisiplinkan orang lain. Disiplin yang dimaksudkan disini bukan setakat mematuhi arahan dan peraturan sahaja tetapi juga termasuk dari segi mengawal diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak baik.
Tegas dan fleksibel – Dengan bersifat tegas seseorang ketua itu akan di yakini oleh kumpulan. Keputusan dan arahannya akan dipatuhi tanpa keraguan dan kelewatan. Ketua yang tegas akan disegani oleh pengikutnya. Di dalam kegiatan luar ketegasan adalah perlu terutamanya yang berkaitan dengan keselamatan. Seseorang yang tegas diterima adalah orang yang berdidiplin dan berani. Seseorang ketua hendaklah pula bersifat fleksibel pada ketika-ketika tertentu terutama sekali bagi tujuan keselamatan kumpulan. Sebagai contoh ia haruslah boleh memilih cara lain apabila satu cara yang dirancangkan itu membahayakan kumpulan.
Yakin – Seseorang pemimpin hendaklah yakin kepada dirinya sendiri. Yakin kepada diri sendiri ialah yakin kepada kebolehan yang ada, yakin kepada segala keputusan dan tindakan yang telah dibuat untuk kumpulan dan apa yang lebih penting ialah yakin kepada kepimpinan sendiri. Dengan demikian seseorang ketua dapat menjalankan tugasnya tanpa ragu-ragu. Ketua yan ragu-ragu kepada dirinya sendiri tidak akan mempunyai kekuatan dalaman untuk memimpin orang lain.
Demikianlah di atas tadi serba sedikit huraian berhubung kualiti-kualiti yang harus dimiliki oleh seorang pemimpin kegiatan luar. Mungkin sukar bagi seseorang itu untuk memiliki kombinasi ke semua kualiti di atas atau lain-lain kualiti yang baik-baik, tetapi dengan mempunyai sebahagian besar daripada kombinasi kualiti-kualiti tersebut seseorang itu sudah melayakkan diri untuk menjadi ketua. Jika ia mempunyai kesemua kualiti itu maka ia adalah seorang ketua yang unggul.
Pengetahuan
Selain daripada kualiti-kualiti yang telah disebutkan di atas, maka seseorang ketua kegiatan luar hendaklah pula mempunyai beberapa pengetahuan tertentu. Di antaranya ialah seperti berikut di bawah ini:-
Bidang yang dipimpin – seorang pemimpin kegiatan luar hendaklah mempunyai pengetahuan yang luas di bidang yang dipimpin. Sebagai contoh kita yang menjadi ketua di bidang keno ia hendaklah mempunyai pengetahuan yang luas tentang kegiatan ini seperti sejarahnya, jenis-jenis keno, peraturan keselamatan, peralatan, penganggaran dan perkembangan terbaru. Seterusnya ia harus tahu serba sedikit tentang perkara-perkara bidang umum di dalam kegiatan luar seperti perkhemahan, pertolongan cemas, baca peta, cuaca dan tentang alam semula jadi itu sendiri. Amatlah sukar bagi seseorang itu memimpin dibidang yang ia kurang mempunyai pengetahuan berhubung dengannya.
Organisasi – Seseorang ketua kegiatan luar hendaklah pula mempunyai pengetahuan organisasinya sendiri. Ia mesti benar-benar faham tentang matlamat organisasi (kumpulan) strukturnya, peraturannya, etikanya, perancangan dan perkembangannya serta apa jua yang berkaitan dengan organisasi. Amatlah memalukan jika seseorang ketua itu tidak tahu tentang organisasinya sendiri.
Pengikutnya – Seorang ketua kegiatan luar hendaklah tahu tentang orang-orang yang dipimpinnya. Di antara perkara-perkara yang harus di ambil tahu ialah seperti siapa mereka, minat, perangai, kemampuan, bakat, kelemahan dan lain-lain yang perlu diketahui. Di dalam setiap aktiviti perlu sekali kemampuan tiap-tiap individu diketahui supaya ketua melampaui kemampuan tersebut. Mengetahui tentang orang-orang yang dipimpin akan memudahkan ketua untuk bertindak, mengawal, menilai dan membimbing mereka dengan cara yang lebih berkesan.
Kebolehan – seseorang ketua kegiatan luar perlu pula mempunyai beberapa kebolehan tertentu supaya ia dapat memimpin kumpulan dengan lebih baik.
Kemahiran – Untuk menjadi seorang ketua di dalam kegiatan luar, seseorang itu mestilah mempunyai kebolehan teknikal, atau kemahiran di bidang yang di pimpinnya itu. Sebagai contoh seorang ketua di bidang keno mestilah tahu cara-cara mengendalikan keno secara praktik dan bukanlah hanya setakat pengetahuan teori sahaja. Dengan kebolehan membuat sendiri ini ia dapat mengajar, membetulkan cara yang salah, membuat demontrasi dan melakukan sendiri yang selamat ketika di dalam ekspedisi.
Kebolehan berhubung – melalui kebolehan ini seorang ketua dapat menyampaikan maklumat dan arahan dengan jelas dan berkesan kepada kumpulan. Sebagai ketua, beliau tentu banyak berhubung dengan kumpulan bagi maksud seperti berbincang, melatih, memberikan taklimat dan menjelaskan perkara-perkara tertentu yang berbangkit. Kebolehan berhubung yang baik juga amat di perlukan bagi tujuan mendorong dan memberi semangat (inspirasi) untuk ahli kumpulan. Kebolehan dibidang ini juga sudah tentu akan menghasilkan laporan bertulis yang baik., nota-nota latihan, risalah-risalah dan juga kertas kerja yang berkesan.
Kebolehan membuat pertimbangan – kebolehan ini adalah penting kerana melalui pertimbangan yang baik sahaja keputusan yang tepat boleh terhasil. Keputusan yang tepat adalah satu perkara yang sangat penting terutama sekali di dalam kecemasan. Jika pertimbangan tidak baik maka keputusan yang dibuat tentu tidak tepat. Di sini amatlah penting sekali bagi seorang ketua itu supaya boleh membezakan di antara perkara yang memberhaya. Perkara yang memberhaya ada kalanya senang untuk di lakukan.
Tanggungjawab
Pemimpin mempunyai du atnggung jawab yang nyata. Pertama ialah bagi menentukan tercapainya matlamat kegiatan dan keduanya bagi menentukan keselamatan kumpulan ketika aktiviti sedang dijalankan. Jika suatu projek kumpulan, expedesi misalnya, gagal mencapai matlamat atau objektif yang digariskan, maka ini adalah disebabkan oleh kelemahan pemimpin itu. Begitu jugalah halnya sesuatu aktiviti itu selalu sahaja di timpa kemalangan.
Tugas
Bagi menguruskan kumpulan ketua hendaklah melakukan beberapa tugas, atau fungsi tertentu. Bagi menghasilkan pengurusan yang berkesan, maka tugas-tugas tersebut hendaklah dijalankan dengan berseungguh. Perlu ditekankan pula pemimpin dalam aktiviti luar yang dimaksudkan disini ialah khusus mereka yang menjadi ketua di dalam aktiviti yang dilakukan dalam persekitaran luar atau ekspedesi..
Penutup.
Tidak ada kumpulan yang boleh bergerak tanpa kepimpinan yang berkesan. Di dalam kegiatan luar yang sentiasa terdedah kepada cabaran dan risiko tertentu, maka kepimpinan yang tepat hendaklah diperolehi. Banyak orang yang mahu menjadi ketua tetapi bukan banyak yang boleh menjadi ketua. Seseorang yang meminpin aktiviti bukanlah sekadar berjalan di hadapan kumpulan tetapi ia harus lebih dari itu. Kepimpinan di dalam kegiatan luar bukanlah mudah di cari seperti memilih sebuah khemah untuk di beli. Samada kepimpinan itu lahir sebagai bakat semulajadi atau melalui latihan, usaha-usaha kearah melahirkannya hendaklah diteruskan supaya kepimpinan itu terus dari masa kesemasa bagi menampung kegiatan yang kian berkembang
Tidak Punya Kasut Baru
-
Dulu-dulu saya sering merungut apabila mak dan abah tak mampu membeli
sepasang kasut baru berjenama untuk dipakai seperti yang dipakai oleh
kawan-kawan ya...
8 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan